KUCHING, 5 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu kerja membaik pulih sekolah dan klinik daif di negeri ini diselesaikan dengan kadar segera.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Persekutuan Sarawak baharu, Ahmad Nadzri Mohd Hassan kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
“Beliau (Premier Sarawak) amat memberi penekanan kepada pembangunan dan pembaikpulihan sekolah-sekolah daif dan klinik-klinik daif di serata Sarawak selain isu-isu keselamatan dan pertahanan negara.”
“Ini antara dua perkara utama yang ditekankan oleh Premier untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Nadzri, kementerian-kementerian terlibat perlu mengambil tindakan segera kerana peruntukan sudah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sarawak mempunyai peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi tujuan berkenaan,” tambahnya.
Terdahulu, Nadzri dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak berkuat kuasa 20 Februari 2023.
Beliau mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam dan banyak terbabit dalam menguruskan beberapa portfolio termasuk pembangunan sumber manusia, dasar dan perancangan strategik. -TVS