BINTANGOR, 4 April: Penduduk digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan Tanah Perkuburan Cina Jalan Kelupu Bintangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, mayat ditemukan penduduk kira-kira jam 10 pagi sebelum bertindak menghubungi polis.
Katanya, hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat tersebut seorang lelaki berbangsa Cina berasal dari Sibu.
“Ia berdasarkan penemuan kad kesihatan dan kad pengenalan diri yang dijumpai di dalam beg sandang yang digunakan olehnya. Berdasarkan siasatan lelaki itu dipercayai baharu meninggal dunia dalam tempoh tiga hingga empat jam yang lepas.
“Mayat kemudian telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Ahli keluarga lelaki itu juga telah dihubungi untuk tujuan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Sekam menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan penemuan mayat itu memandangkan kes masih dalam siasatan.
Buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – TVS



