KUCHING, 3 April: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyifatkan pemergian Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu Suhardy Sedik sebagai satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negeri.
Presiden FAS Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman berkata beliau dimaklumkan mengenai berita sedih itu pada malam ini sambil menyifatkan ia sebagai kehilangan seorang rakan, sahabat dan tokoh dalam arena bola sepak negeri.
“Harapan dan masa depan bola sepak Sarawak cukup besar dengan adanya anak muda seperti Allahyarham Suhardy yang masih percaya adanya peluang untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri dicintai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Abang Zulkarnain beliau dimaklumkan bahawa Allahyarham Suhardy, 43, yang juga Ketua Stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarikei meninggal dunia di Kuching.
“Selama mengenali Allahyarham, saya cukup selesa dengan prinsip, etika dan keperibadian Allahyarham,” ujarnya.
Sementara itu, Facebook Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarikei turut memaklumkan mengenai pemergian Allahyarham.
“Kastam Diraja Malaysia menzahirkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Tuan Suhardy Sedik, yang telah kembali ke rahmatullah pada 3 April 2023.
“Semoga Allah tempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan orang yang beramal soleh,” katanya. – TVS