KUCHING, 1 April: Pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin memberi bayangan hasratnya untuk membuka cawangan perdana kedai pakaiannya, FAZURA di Sarawak.
Menurut pelakon itu, sambutan orang ramai pada pelancaran tudung eksklusif kolaborasi Fazura dan AEON Mall di AEON Mall Kuching Central melahirkan keterujaannya untuk berada di sini.
Baca artikel berkaitan > > > Fazura sedang menapak untuk bergelar pengarah filem
“Saya sebenarnya terkejut tak sangka begitu ramai yang datang untuk pelancaran tudung ini. Saya berharap dapat membuka satu cawangan perdana di sini juga kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada pelancaran kolaborasi AEON Mall dan Fazura bersempena Raya Paling Gempak di AEON Mall Kuching Central pada Sabtu.
Hadir sama, suaminya, Fattah Amin dan Ketua Pemasaran Pusat Memberi Belah, Gig dan Pengurusan AEON Mall, Nikki Lee.
Koleksi tudung, ‘Gemirang Raya’ hasil kolaborasi bersama AEON Mall adalah untuk menghargai kesetiaan pelanggan AEON Mall selain sebagai sokongan kepada usahawan tempatan dalam meluaskan peluang perniagaan mereka. – TVS