KUCHING: Tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 38 hingga 49 tahun dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu dine-in di sebuah premis di Jalan Song, Kuching pada jam 3.15 petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt. Merbin Lisa berkata, pemilik premis turut dikompaun RM10,000 manakala pelanggan-pelanggan terbabit dikompaun RM2,000 setiap seorang.
“Walaupun angka jangkitan semakin hari semakin meningkat tetapi masih ada segelintir masyarakat yang degil dan memperjudikan nyawa mereka dengan melanggar SOP yang ditetapkan,” tegasnya.
Pihak polis khususnya di Kuching telah dan akan mengambil tindakan lebih proaktif serta tegas tanpa berkompromi terhadap individu yang gagal mematuhi garis panduan.