KUCHING, 30 Mac: Galeri Seni secara maya ditubuhkan sebagai platform kepada artis dalam kalangan insan istimewa mempamerkan hasil karya mereka menembusi pasaran global.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata galeri tersebut merupakan inisiatif kerjasama antara Kelab Lion dan Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Bakat Insan Istimewa Kuching (KATSN).
Beliau menyifatkan kerjasama dua badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah peluang transformasi dan langkah ke hadapan untuk menyokong inisiatif digitalisasi Kerajaan Sarawak.
“Inisiatif ini mampu memberi peluang kepada golongan kelainan upaya untuk mempamerkan hasil karya mereka secara besar-besaran hingga ke peringkat global.”
“Selain itu galeri ini juga peluang kita untuk memperoleh lebih banyak pelanggan terutamanya dalam kalangan golongan istimewa yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Galeri Seni Maya Kelab Lions dan KATSN di bangunan CHEMSAINS pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai galeri berkenaan, menurut Ting ia membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong inisiatif seumpama itu terutamanya melalui pembiayaan dan dasar yang menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian.
Majlis turut menyaksikan beliau menyumbangkan dana berjumlah RM10, 000 kepada KATSN bagi menyokong inisiatif persatuan tersebut termasuk menjaga kebajikan golongan istimewa itu. – TVS