Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Nailie merakam kenangan bersama para penerima sumbangan. Foto: TVS

Trend bayar zakat meningkat melalui aplikasi ‘Baitulmal Kamek’

MIRI, 30 Mac: Pembayaran zakat fitrah dan zakat harta telah menunjukkan trend peningkatan yang positif di atas talian seperti aplikasi ‘Baitulmal Kamek’ yang dilancarkan dalam fasa pandemik COVID-19 sebelum ini.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Nailie berkata, perkara tersebut merupakan satu perkembangan yang baik susulan turut menjadi usaha pihaknya mengumpul lebih banyak kutipan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Sejak pandemik COVID-19 kita telah dapat menggunakan kaedah yang baru di mana orang ramai boleh membayar secara atas talian melalui aplikasi Baitulmal Kamek dan beberapa saluran infrastruktur bayaran yang dilakukan oleh perbankan dan juga saluran e-wallet serta portal yang lain.”

“Jadi setakat ini saya boleh katakan dari tahun ke tahun, ia meningkat. Khususnya membayar fitrah dan zakat harta. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan Insya-Allah pada tahun-tahun yang akan datang, sambutan daripada masyarakat yang sudah terdedah dengan kaedah pembayaran di atas talian ini akan lebih bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf Tabung Baitulmal Sarawak di sini, pada Rabu.

Selain pembayaran zakat di atas talian, pihak Baitulmal juga masih meneruskan kutipan melalui amil bagi mereka yang lebih selesa dan memilih untuk melakukan tuntutan itu dengan kaedah tradisional.

“Kita tidak dapat menafikan kutipan melalui amil untuk zakat fitrah masih kita teruskan kerana kita dapati bahawa ada lagi generasi kita, orang tua dan sebagainya yang sudah sebati dengan kaedah secara tradisi,” katanya lagi.

Majlis menyaksikan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM67,980 kepada 28 orang penerima dan tiga pusat tahfiz bagi meringankan bebanan pada Ramadan ini serta sebagai persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.

Setakat 28 Februari lepas, sebanyak RM13.02 juta hasil agihan zakat telah diagihkan kepada asnaf melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan