KUCHING, 30 Mac: Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan akan menjadi platform untuk memperkasakan atlet di Sarawak dalam bidang sains dan teknologi kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Walaupun projek pembangunan pusat tersebut menurutnya mengalami kelewatan akibat pandemik yang melanda dunia, namun ia tetap menjadi salah satu fokus utama kementeriannya  dalam usaha membantu meningkatkan kualiti atlet di Sarawak.
Dalam pada itu Abdul Karim turut berkongsi kekaguman beliau selepas melawat sebuah Pusat Kecemerlangan Sukan di New Zealand sebelum ini.
“Saya telah pergi ke New Zealand untuk melihat bagaimana mereka membangunkan Pusat Kecemerlangan Sukan di sana.
“Mengapa memilih New Zealand untuk dijadikan contoh?. Dalam pertandingan Olimpik yang diadakan di Rio, New Zealand telah berjaya memenangi 16 pingat emas.
“Sudah pasti ada sesuatu yang telah mereka lakukan di pusat itu yang menyebabkan atlet mereka berjaya merangkul banyak pingat emas,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media Persidangan Pengurusan Sukan peringkat Antarabangsa (Asian Association for Sports Management Conference – AASM 2023) pada Rabu.
Beliau menambah pembinaan pusat itu amat diperlukan di negeri ini dalam memastikan atlet Sarawak mendapat perhatian daripada pelbagai sudut meliputi makanan dan minuman serta penggunaan peralatan dan teknologi terkini untuk mempersiapkan diri mereka dalam pertandingan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – TVS