KUCHING, 29 Mac: Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah persidangan pengurusan sukan bertaraf antarabangsa, Asian Association for Sports Management Conference (AASM 2023) merupakan kebanggaan kerajaan negeri, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata persidangan itu akan membawakan delegasi daripada 25 buah negara untuk berkampung di Hotel Imperial Kuching pada 19 dan 20 Ogos nanti.
Menurutnya, persidangan gergasi itu bakal menghimpunkan para penyelidik, atlet sukan, pelajar program pengurusan sukan serta mereka yang berkerja dalam bidang terbabit untuk berkongsi pandangan, maklumat, kolaborasi, penempatan latihan praktikal dan pengurusan data berkaitan pengurusan sukan di negara masing-masing.
Selain pertama kali diadakan di Borneo, kata Abdul Karim persidangan tersebut juga akan menyaksikan penyertaan delegasi dari Qatar buat pertama kalinya.
“Persidangan ini telah banyak kali diadakan di Semenanjung tetapi ia kali pertama diadakan di Kepulauan Borneo.
“Apa yang menarik adalah buat kali pertama delegasi dari Qatar menyertai persidangan ini dan kita ingin mempelajari kejayaan mereka dalam penganjuran acara sukan bola sepak bertaraf antarabangsa, FIFA World Cup tahun lalu
“Sarawak juga mempunyai kekuatan didalam bidang sukan menerusi beberapa atlet yang telah mencipta nama diperingkat dunia dan saya berharap persidangan ini akan membuka minat lebih ramai lagi golongan belia di Sarawak yang berpotensi dalam bidang pengurusan sukan,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur 2 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu beliau menyifatkan persidangan tersebut diyakini akan membuka minda masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sukan.
Melalui pengetahuan pengurusan sukan, tegasnya seseorang atlet yang bersara boleh diserapkan di bawah mana-mana jabatan sukan yang memerlukan khidmat pengurusan sukan.
Selain itu katanya lagi, penganjuran persidangan antarabangsa itu juga bakal meningkatkan lagi ekonomi Sarawak dari sudut pelancongan.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Frederick dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sports Corporation (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan. – TVS