KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji penggunaan sistem digital untuk membatalkan pendaftaran kenderaan usang.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kaedah itu diyakini akan dapat mengatasi isu lambakan kenderaan buruk yang menyebabkan pencemaran.
Kata beliau, sistem itu juga mampu menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara.
“Langkah ini bertujuan untuk memudahkan pemilik kenderaan yang berhasrat untuk melupuskan kenderaan lama mereka tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (Pakatan Harapan – Hulu Langat) yang ingin tahu usaha kerajaan menguruskan pelupusan kenderaan buruk di samping menjaga kelestarian alam sekitar.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, kenderaan buruk tersebut seterusnya akan dilupuskan oleh syarikat pelupusan sisa pepejal yang diiktiraf mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan.
“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, kita berharap ia akan dapat menyelesaikan isu lambakan kenderaan buruk dan usang di Malaysia,” katanya. -TVS