KUCHING, 29 Mac: Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak berhasrat untuk mewujudkan hab ‘My Digital Classroom’ di sini.
Pengarahnya, Edmund Shah Tambi berkata, inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyokong saranan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak khususnya dalam penggunaan teknologi digital dalam kalangan pelajar.
“Seperti sedia maklum, kami di IAB bertindak sebagai pusat latihan dan kepimpinan untuk warga-warga pendidik, serta pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.
“Jadi sebagai salah satu pusat kepimpinan, kami tidak mahu ketinggalan untuk memperkasa bidang ini khususnya dalam urusan menyampaikan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan ‘My Digital Classroom’ itu akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat ini.
“Kami yakin dengan adanya ‘My Digital Classroom’ nanti, akan lebih ramai pemimpin pendidikan di Sarawak mampu menguasai bidang digital teknologi dalam menyampaikan ilmu kepada anak murid mereka,” jelasnya. -TVS