Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bazar Ramadan Limbang yang sesak dengan kehadiran pengunjung. Foto TVS.

Tidak berkompromi, permit ditarik balik jika peniaga bazar Limbang jual juadah basi

LIMBANG, 29 Mac: Majlis Daerah Limbang (MDL) tidak berkompromi serta tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga bazar Ramadan di sini yang menjual juadah basi sekiranya dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Limbang di sini.

Wali Kota MDL, Kaunselor Sufian Mohat berkata, pihaknya sedang menunggu laporan KKM berhubung hasil pemeriksaan, pemantauan dan operasi selepas mendapatkan sampel makanan mahupun minuman yang dijual di bazar berkenaan.

Pihak KKM melakukan pemantauan di Bazar Ramadan Limbang. Foto TVS.

Sufian mendedahkan terdapat beberapa aduan yang diterima pihaknya berhubung makanan basi yang dijual segelintir peniaga bazar Ramadan Limbang selain turut tular dalam media sosial seperti Facebook semalam.

Tegasnya pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan membatalkan permit berjual di bazar berkenaan, jika didapati peniaga melanggar syarat dan peraturan termasuk faktor kebersihan juadah.

“KKM ada menjalankan pemeriksaan tiga kali untuk membuat pemantauan terutamanya membuat pemeriksaan terhadap jualan para peniaga,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini susulan timbul dakwaan orang ramai yang membeli makanan basi di Bazar Ramadan Limbang.

Justeru itu, Sufian menasihatkan para peniaga agar bertanggungjawab dan menjalankan etika perniagaan secara berhemah dengan memastikan makanan yang dijual adalah selamat untuk pelanggan dan pengunjung.

“Peniaga harus mementingkan kebersihan makanan agar tidak mendatangkan masalah kesihatan kepada pelanggan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, orang ramai di sini meluahkan rasa kecewa mereka di media sosial semalam ekoran telah membeli juadah basi di Bazar Ramadan Limbang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan