MIRI, 29 Mac: Kementerian Pelancongan, Industri dan Seni Persembahan menyasarkan tiga juta kemasukan pelancong pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew Yang optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan dengan trend kemasukan pelancong terkini.
Beliau yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan kepada peningkatan jumlah pengunjung yang mencecah 600,000 dalam dua bulan pertama 2023 berbanding Disember 2022 dengan 420,000.
“Orang Brunei sudah boleh datang ke sini, kita pun ramai ke Brunei, senang sikitlah. Jadi saya fikir lebih ramai orang datang ke sini. Bulan Disember tahun lepas, ada 420,000 orang masuk Sarawak. Itu dari Brunei dan Indonesia,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Ramadan 2023 di Masjid Kampung Pulau Melayu di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 71 penerima yang terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak-anak yatim dan balu dari Kampung Pulau Melayu berupa barangan keperluan asas.
Sebastian meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk Kampung Pulau Melayu. – TVS