KUCHING, 28 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf pada Isnin.
Seramai 50 orang golongan itu menerima sumbangan berkenaan pada Majlis Jalinan Kasih Ragad Foundation di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Sumbangan berbentuk bakul makanan yang dilengkapi keperluan asas itu diyakini akan meringankan beban golongan kurang berkemampuan itu untuk menyambut Ramadan kali ini.
Pada masa sama, Tun Abdul Taib dan Toh Puan Raghad turut menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah bersama tetamu jemputan.
Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Professor Dato Dr. Jamil Hamali dan Setiausaha Sulit Kanan kepada TYT Sarawak, Riziandy Nawawi. – TVS