GEORGE TOWN, 28 Mac: Dua bot nelayan dari Indonesia dengan sembilan kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini selepas didapati menceroboh perairan negeri ini pada Isnin.
Bot nelayan Indonesia terbabit masing-masing ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi dan 12.10 tengah hari pada kedudukan 45 dan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kru kedua-dua bot dipercayai sedang menangkap ikan ketika bot APMM melakukan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.
Menurutnya, operasi itu membabitkan tangkapan masing-masing lima dan empat nelayan warga Indonesia berusia antara 17 hingga 41 tahun di atas kedua-dua buah bot.
“Hasil siasatan bot-bot berkenaan didapati berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang di Sumatera Utara.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bot dan peralatan menangkap ikan yang disita bersama kru berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung di sini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. – TVS