Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melakukan tinjauan sekolah daif di Sarawak pada awal tahun ini. Foto Facebook Fadhlina Sidek.

Parlimen: 79 peratus sekolah daif di Sabah dan Sarawak – Kementerian Pendidikan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Sebanyak 79 peratus sekolah daif di seluruh negara berada di Sabah dan Sarawak, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, bagi mengatasi masalah itu, KPM mempunyai perancangan untuk menaik taraf, melaksanakan pengubahsuaian serta membina semula bangunan gantian untuk sekolah daif yang dikenal pasti.

Kata beliau, perkara berkenaan berada di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan kerja – kerja berkenaan.

“Bagi bangunan daif (sekolah serta kawasan terlibat) saya sedia memberikan senarai secara bertulis kepada Yang Berhormat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Perikatan Nasional – Beluran) yang ingin tahu langkah konkrit kementerian untuk mengatasi isu sekolah daif di negara ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali (Barisan Nasional – Pekan) yang ingin tahu pembaharuan yang bakal dilakukan bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara, Hui Ying memaklumkan KPM telah melaksanakan penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang daif berdasarkan analisis skor gred impak.

Katanya skor gred impak ini mempunyai tujuh tahap skala dengan satu hingga skala empat merujuk kepada keadaan bangunan yang masih berfungsi dan selamat digunakan.

“Skala lima pula ialah bangunan yang dilaporkan tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan.

“Skala enam pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal pejabat pendidikan daerah (PPD) atau jabatan pendidikan negeri (JPN),” katanya.

Skala tujuh pula katanya, merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pembinaan bangunan gantian ini dilaksanakan secara berfasa melalui peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat bagi setiap Rolling Plan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“Walau bagaimanapun kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan