Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ritual Nyemah Binua, yang merupakan adat tradisi nenek moyang bagi komuniti etnik Bidayuh Salako Kampung Pueh. Foto: Awang Azmil (TVS)

Ritual Nyemah Binua Salako Kampung Pueh dihidupkan semula

ByNazirah Adlina

KUCHING, 27 Mac: Kampung Pueh semalam menerima kedatangan pengunjung dari dalam dan luar dengan tangan terbuka, untuk turut serta menyaksikan ritual Nyemah Binua, yang merupakan adat tradisi nenek moyang bagi komuniti etnik Bidayuh Salako Kampung Pueh.

Ketua Kaum, Eran Su’ut berkata, ritual tersebut diadakan untuk meminta rezeki laut daripada Jubata (Tuhan) yang merupakan penjaga alam, dari segi penangkapan ikan, udang, ketam dan sebagainya kepada penduduk kampung tersebut.

Ritual Nyemah Binua, yang merupakan adat tradisi nenek moyang bagi komuniti etnik Bidayuh Salako Kampung Pueh. Foto: Awang Azmil (TVS)

Eran berkata, ini merupakan tahun ketiga ritual tersebut diadakan setelah bertahun lama tidak dilakukan sejak tahun 1973.

“Kampung Pueh merupakan satu-satunya kampung yang masih mengamalkan adat tradisi ini. Kami mula melakukannya semula agar adat ini dapat dibangkitkan semula untuk generasi akan datang, dan ia tidak hilang ditelan zaman,” jelas Eran kepada TVS selepas selesai ritual Nyemah Binua dilakukan di Kampung Pueh, Lundu, Sarawak.

Mengenai Nyemah Binua, beliau berkata, ritual yang dilakukan kini berbeza dengan ritual asal yang dilakukan pada zaman nenek moyangnya yang mana proses perjalanan ritual adalah kompleks dan mempunyai pantang larang yang lebih rumit.

“Untuk yang sekarang, kita mula dengan mengadakan satu mesyuarat dengan ketua-ketua adat dahulu berkenaan apa yang harus kita buat dan menetapkan tarikh bila ia diadakan. Selepas itu kita memerlukan tiga ekor ayam untuk dipersembahkan serta bahan lain seperti lemang sebagai komponen persembahan kepada Jubata.” katanya.

Beliau menambah, jika ritual dilakukan dengan cukup syarat ia boleh mengelak Jubata dari menganggu orang tempatan dan memberikan rezeki yang lumayan kepada penduduk.

Bercerita lanjut Eran berkata, terdapat beberapa pantang larang yang harus dipatuhi bagi mereka yang menyertai Nyemah Binua.

Ritual Nyemah Binua, yang merupakan adat tradisi nenek moyang bagi komuniti etnik Bidayuh Salako Kampung Pueh. Foto: Awang Azmil (TVS)

Antaranya adalah untuk tidak meninggikan suara di tapak ritual, tidak menangkap ikan pada hari ritual diadakan dan tidak membuang lebihan ikan yang ditangkap, jika hasil tangkapan banyak selepas hari ritual tersebut diadakan.

Selain itu, semua peserta ritual harus berpakaian putih atau mengenakan ikatan kain putih di pergelangan tangan atau di dahi untuk melambangkan kesucian serta kebersamaan dengan Jubata.

“Mereka tidak boleh pakai pakaian yang berwarna terang terutama sekali merah. Kerana mengikut kepercayaan, ia melambangkan orang yang berbahaya. Jubata akan benci melihat orang itu,” jelas Eran.

Ritual Nyemah Binua, yang merupakan adat tradisi nenek moyang bagi komuniti etnik Bidayuh Salako Kampung Pueh. Foto: Awang Azmil (TVS)

Untuk rekod, adat ini sudah wujud sejak sebelum zaman penjajahan Jepun yang mana ritual ini pada asalnya dilakukan oleh suku kaum Dayak Ondok sebelum diserahkan ajarannya kepada komuniti etnik Bidayuh Salako yang masih dilakukan sehingga kini.

Eran berkata, sebelum ini, ritual diadakan di Pulau Talang-talang, namun setelah pulau tersebut diambil alih oleh pihak Jabatan Muzium Sarawak, mereka mula melakukannya di pesisir pantai kampung itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan