KUCHING, 27 Mac: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 pada Julai 2024.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat jawatankuasa khas Sukma pada Khamis ini.
“Kalau kita sasar Sukma pada Julai tahun depan kita ada kurang daripada 500 hari sahaja lagi untuk membuat persiapan. Ini adalah cabaran yang kita perlu hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Tenis Remaja Dunia ITF Berpasukan Lelaki Bawah 14 Tahun Pusingan Akhir Asia/Oceania 2023 di sini, hari ini. Hadir sama, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak Dato Patrick Liew
Gerald berkata kerajaan Sarawak juga sedang meneliti semula semua infrastruktur dan kemudahan sukan yang diperlukan untuk penganjuran Sukma kelak.
Fasiliti yang telah rosak atau kurang berfungsi perlu diperbaiki, ditambah baik dan dinaik taraf dengan kadar yang segera.
“Sekiranya kemudahan dan infrastruktur siap dua minggu sebelum pertandingan Sukma, atlet kita tidak akan dapat melakukan persiapan secukupnya. Mereka perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan tempat itu untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Infrastruktur yang akan ditambah baik termasuk stadium dan pusat sukan di kawasan lain di Sarawak seperti Sibu, Bintulu dan Miri.
Ini kerana Sarawak berhasrat untuk melaksanakan kejohanan Sukma di pelbagai bandar di negeri ini.
Sukma 2024 bakal menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas edisi 1990 dan 2016. – TVS