KUCHING, 27 Mac: Beberapa laluan di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway akan ditutup sementara mulai hari ini sehingga 14 Mei ini bermula pukul 9 pagi sehingga 4 petang dan 9 malam sehingga 4 pagi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kenyataan hari ini berkata, penutupan itu dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf permukaan jalan raya.
Jalan raya yang terlibat adalah bulatan Intan dari Kuching menuju ke Samarahan, Samarahan menuju ke Batu 15, Batu 15 menuju ke Samarahan, Samarahan ke Jalan Mohd Musa dan Jalan Mohd Musa menuju ke Samarahan.
“Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu di kesemua laluan berkenaan semasa tempoh kerja-kerja pembaikan.
“Patuhi segala garis panduan trafik untuk keselamatan sehingga tamat kerja-kerja pembaikan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membuat aduan atau pertanyaan boleh menghubungi Pejabat JKR Wilayah Selatan di talian (082-203 096) pada waktu pejabat. – TVS