BUTTERWORTH, 26 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang baharu.
“Ya saya sahkan,” ujarnya ringkas ketika ditanya pemberita berhubung desas-desus pelantikan Nooraini yang juga Ketua Wanita UMNO yang tular di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengulas berhubung pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.
Katanya, Asyraf Wajdi mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian untuk membantu membangunkan Mara.
“Beliau seorang jurubank dari profesyen yang pakar dalam perbankan Islam, bukan hanya beliau seorang ahli politik.
“Rugilah dengan pengalaman dan kelulusan yang begitu kita tidak gunakan sama-sama dengan saya untuk bangunkan MARA,” katanya lagi.
Terdahulu timbul perdebatan berhubung lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) berikutan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengamalkan konsep lantikan politik dalam sesebuah syarikat.
Antara yang mencetuskan kontroversi termasuk Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Ujar Ahmad Zahid lagi, pelantikan dalam GLC adalah berlandaskan garis panduan oleh Kabinet dan mengikut nasihat Perdana Menteri.
“Ia jangan dilihat kerana seseorang itu memegang jawatan politik, Ahli-ahli Parlimen, atau Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) umpamanya, tetapi harus dilihat latar belakang, kelulusan dan pengalaman seseorang itu.
“Jadi ini adalah sesuatu yang lumrah yang pernah dilakukan tetapi kita tidak akan melantik mana-mana individu yang akan memberikan sumbangan kepada organisasi yang akan diketuainya itu,” katanya. – TVS