SIBU, 26 Mac: Kehadiran seekor anak buaya di jalan utama hadapan sebuah restoran di sini mencuri perhatian orang awam pagi tadi.
Bagaimanapun, kelibat reptilia sepanjang enam kaki yang dipercayai tersesat tersebut berjaya ditangkap sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.56 pagi.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian, sepasukan 12 anggota keluaran dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, komander operasi melaporkan seekor anak buaya dengan anggaran enam kaki panjang sedang berada di atas jalan utama di hadapan sebuah restoran di Jalan Igan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, anggota bomba telah bertindak menggunakan kanvas dan tali untuk menangkap buaya itu dalam hanya masa dua minit sahaja.
Menurut Andy, anak buaya itu dibawa balik ke balai sebelum diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Cooperation untuk tindakan selanjutnya dan operasi khidmat itu selesai pada jam 12.15 tengah hari.
Kemunculan anak buaya tersebut juga tidak terkecuali menjadi tular di media sosial sejak tengah hari tadi. – TVS