PUAS bergelumang dengan wang ringgit, akhirnya seorang pegawai bank tidak dapat lagi membendung minatnya sejak kecil iaitu bermain dengan tepung.
Sebenarnya selama beliau berkhidmat sebagai pegawai bank, minatnya yang mendalam terhadap seni membuat dan menghias kek membuatkannya nekad berhenti kerja dan meneruskan minatnya yang sebenar.
Tekad meninggalkan kerjaya yang stabil selama 12 tahun demi cintanya terhadap seni pembuatan kek, Charlene Johny sediktpun tidak menyesali keputusannya.
Bermula hanya suka-suka, beliau kini menjadi seorang pembuat kek sepenuh masa dan tidak menang tangan mengasilkan kek setiap hari.
“Bagi saya tidak ada kepuasan selain melihat hasil kerja saya terutamanya ketika mendapat pujian pelanggan serta peminat kek,” katanya.
Mengakui tidak pernah mengikuti mana-mana kursus pembuatan kek sebelum ini, Charlene berkata beliau hanya belajar dari memerhati di rancangan TV dan juga Youtube.
“Saya gemar bereksperimen dan tidak kisah berbelanja ribuan ringgit membeli barangan membuat kek seperti piping bag, dulang-dulang membakar kek dan oven serta peralatan lain.
“Saya paling suka menghias kek kerana itulah cara saya ‘berkarya’ seperti melakar, membentuk dan melukis.
“Sedar tak sedar sudah tiga tahun saya menghasilkan pelbagai kenis kek,” katanya kepada TVS.
Kek buatan Charlene menjadi tular di Facebook setelah beliau berjaya mencipta kek “custom made” bermotifkan ‘tikai bemban’ atau tikar mengkuang yang dilihat unik dan kreatif.
Kini beliau turut mempelbagaikan ciptaannya mengikut apa sahaja kemahuan pelanggan. Daripada kek bertemakan beg tangan berjenama menggunakan adunan ‘fondant’ sehinggalah kek pengantin, semua tempahan pelanggan akan cuba beliau penuhi.
Menurut pemilik Rocka Baker Cakes dari Kota Samarahan itu, dia menerima tempahan kira-kira sepuluh biji kek dalam masa sehari bergantung kepada slot yang disediakannya.
Ditanya kenapa memilih bidang pembuatan kek, CJ memberitahu minat itu sudah ada sejak dari kecil apabila dia suka bermain dengan tepung dan ibunya pula sentiasa memberi dorongan dalam setiap minat yang dilakukannya.
Bagi tempahan kek yang biasa sahaja, CJ dapat menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja, dan bagi permintaan kek yang agak mencabar dari segi pembuatan tempahan perlu dibuat seminggu atau sebulan lebih awal.
“Sebelum ini saya ada menghasilkan kek yang ideanya diambil daripada corak ‘Tikai Bemban’ iaitu tikai mengkuang yang dianyam oleh seseorang yang memang mahir dalam seni anyaman.
“Ramai yang berkongsikan gambar kek tersebut di laman sosial, terutamanya di Facebook dan menghubungi saya,” jelasnya.
Sejak hari itu, tempahan daripada pelanggan di sekitar Kuching dan Kota Samarahan semakin bertambah dan mereka meminta rekaan kek yang pelbagai dan diakuinya kadang-kadang agak mencabar baginya.
“Tetapi, demi kepuasan hati setiap pelanggan, saya akan cuba membuat rekaan yang diminta dan menyiapkan kek mengikut tempoh yang telah ditetapkan.” katanya.
Setakat ini, CJ hanya membuat kek dari rumah sahaja dan dibantu oleh seorang pekerja.
Bagi menambahkan lagi kemahiran dalam membuat kek, CJ kini turut mengambil kelas membuat kek dan pastry di sebuah institut tempatan.
Jelasnya, walaupun berhadapan dengan pandemik COVID-19, jualan kek masih ada dan sentiasa bertambah sekaligus mampu menjana pendapatan.
CJ juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan keknya itu pada masa hadapan.
“Sekiranya ada rezeki saya ingin membuka sebuah cafe yang hanya menghidangkan minuman seperti kopi dan teh, kek, biskut sesuai bagi mereka yang mahu berserapan pagi dan minum petang.” tambahnya.
Selain membuat kek, CJ turut membuat biskut, cupcakes, dan tarts yang mendapat permintaan yang tinggi setiap kali musim perayaan.
CJ mendedahkan kini pendapatannya lebih lumayan sebagai seorang pembuat kek berbanding gajinya sebagai pegawai bank.
“Yang penting, kena ada minat, impian, berani ambil risiko dan sahut cabaran, barulah maju,” katanya.
Sementara itu, ibu CJ, Margret Nagie berkata beliau sentiasa menyokong minat anaknya itu yang sehingga kini telah berjaya menjadi seorang usahawan.
“Memang dari kecil CJ suka sangat bermain dengan tepung, suka berada di dapur, suka masak dan suka nak buat kek, selalu suruh saya buat tapi saya buat yang simple saja lah.
“Siapa sangka kini anak saya berjaya walaupun muka-mula saya agak bimbang apabila beliau berhenti kerja,” ujarnya.