Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ruji (dua kiri) selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pejabat dan Rumah Kediaman JPN Tawau Sabah. Foto: TVS

Sindiket urus kemasukan pendatang asing aktif sejak tiga tahun lalu – KDN

ByTVS

TAWAU, 26 Mac: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan wujud sindiket atau ejen mengurus kemasukan pendatang asing warga Filipina dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan bayaran RM2,500 seorang yang telah bergiat aktif sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan operasi khas untuk menumpaskan sindiket tersebut.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) dan sekitar Bandar Seri Alam Masai, Johor pada Khamis lepas hasil maklumat awal yang diperoleh selepas menahan seorang warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Lembah Klang.

“Operasi telah dijalankan di KLIA2 dan telah berjaya menahan seramai lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dipercayai warganegara Filipina terdiri daripada enam dewasa, seorang remaja perempuan berumur 15 tahun dan seorang bayi lelaki berusia 21 bulan.

“Enam PATI ditahan kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri sementara dua PATI termasuk bayi tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri dengan kesemua mereka berjaya melepasi pemeriksaan untuk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pejabat dan Rumah Kediaman JPN Tawau Sabah, semalam.

Katanya, operasi yang dijalankan di sebuah rumah transit sindiket di Bandar Seri Alam Masai, Johor pula berjaya menahan sepasang suami isteri warga Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

“Pada 24 Mac JPN telah menggerakkan operasi bersama SPRM dan polis bagi mengesan lokasi pemilik sebenar MyKad yang digunakan sindiket dan berjaya menahan tujuh pemilik MyKad di pelbagai lokasi di Tawau untuk siasatan lanjut dan kini telah direman sehingga 29 Mac,” katanya lagi.

Ruji berkata, kesemua kes disiasat di bawah Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Dalam masa sama beliau mengesahkan lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah ditahan SPRM pada 23 Mac lepas dan tidak menolak akan berlaku lagi tangkapan susulan berkaitan operasi yang telah dijalankan.

Turut hadir Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan