LIMBANG, 26 Mac: Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Pejabat Kesihatan akan mengadakan pemeriksaan berkala bagi mengelak berlakunya kes bawaan kuman seperti cirit-birit di Bazar Ramadan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, aspek keselamatan dengan menitikberatkan kebersihan gerai dan makanan di Bazar Ramadan amat perlu bagi mengelak berlakunya penyakit yang tidak diingini berlaku.
Katanya, meskipun penyakit cirit-birit dan keracunan makanan jarang dilaporkan berlaku di Daerah Limbang, namun pemantauan secara kerap perlu dijalankan bagi memastikan kebersihan sentiasa diutamakan dan peniaga makanan Bazar Ramadan sentiasa mematuhi etika perniagaan sebagaimana yang ditetapkan.
“Saya sokong usaha MDL dan Pejabat Kesihatan perlu mengadakan siasatan ataupun pemeriksaan supaya makanan juadah itu adalah selamat, itu penting.
“Dari segi rasanya nyaman memang penting, dari segi persembahan yang bagus memang penting, tapi apa yang penting selamat untuk dimakan supaya tidak ada kes-kes cirit-birit berlaku,” katanya ketika berucap pada Perasmian Bazar Ramadan 2023 di Lot 777 semalam.
Hadir sama ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.
Jelasnya lagi, selain menjadikan Bazar Ramadan sebagai peluang untuk menambah pendapatan para peniaga tidak perlu alpa dengan tanggungjawab dalam menyediakan makanan yang selamat dan bersih kepada para pengunjung.
“Jabatan kesihatan saya percaya mereka turut mengadakan saringan kesihatan pada peniaga-peniaga, memang penting iaitu untuk mengelak kuman-kuman bawaan yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan ini perlu kita adakan secara berkala dan kita berharap para peniaga dapat menyediakan makanan selain daripada sedap, nyaman mesti selamat untuk dimakan,” jelasnya lagi.
Seramai 155 peniaga menyertai Bazar Ramadan kali ini dan RM50,000 diperuntukan Dr. Rahman untuk menyediakan kemudahan kanopi, kemudahan peralatan elektrik bagi memeriahkan Bazar Ramadan kali ini.
Selain Bazar Ramadan, gerai secara berkumpulan dan gerai secara individu turut diadakan di setiap kampung-kampung dan taman perumahan yang ada di daerah ini. -TVS