MIRI, 25 Mac: Universiti digalakkan untuk mengadakan lebih banyak aktiviti yang melibatkan komuniti termasuk pelajar dan masyarakat sebagai satu cara untuk orang ramai mengetahui peluang pendidikan yang ada termasuk di bandaraya Miri seperti universiti Curtin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menggalakkan universiti mengadakan lebih banyak penglibatan komuniti untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti di mana sekolah-sekolah di Miri boleh mengambil bahagian.
“Juga untuk orang ramai yang boleh menyertai aktiviti di universiti supaya mereka dapat mengetahui lebih lanjut tentang universiti ini. Kami mempunyai universiti antarabangsa di Miri ini, jadi kami berharap pelajar tempatan di sini akan datang dan belajar di universiti di sini,” katanya semasa merasmikan pembukaan Curtin Chess Challenge di sini, hari ini.
Tambah beliau, pertandingan catur sebagai aktiviti dalaman itu merupakan satu peluang yang baik untuk menarik pelajar dan orang awam datang melawat dan melihat sendiri fasiliti yang terdapat di universiti tersebut.
Pertandingan anjuran Kelab Permainan Papan Curtin diadakan selama dua hari pada 25 hingga 26 Mac dan terbuka kepada orang ramai di Miri tanpa mengira usia.
Sebanyak 92 peserta menyertai pertandingan itu dengan 53 peserta untuk catur barat dan 39 peserta untuk catur Cina. – TVS