Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Selangor. Foto: Unit Komunikasi Korporat KKDW.

Syarikat korporat, individu disaran selaraskan bantuan Ramadan, Aidilfitri

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Syarikat korporat dan individu yang ingin menyumbangkan bantuan kepada golongan gelandangan sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri disarankan supaya  menyelaraskan sumbangan berkenaan melalui jabatan terlibat seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara ini bertujuan memastikan sumbangan itu dapat diagihkan secara sistematik dan terus kepada golongan terlibat.

Selain itu, langkah berkenaan juga untuk mengelakkan berlakunya pembaziran kerana kebiasaannya terdapat lebihan sumbangan berbanding jumlah yang diperlukan golongan itu.

“Pada bulan Ramadan ini terlalu ramai (golongan) yang hendak dapatkan pahala. Jadi pada waktu berbuka puasa, sahur atau moreh, makanan berlebih-lebihan.

“Maka saya ingin sarankan kepada syarikat atau individu yang mahu menyumbang agar selaraskan sumbangan dengan YKN, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana kita mahu sumbangan itu sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapannya pada Program Singgah Moreh bersama Komuniti Gelandangan di Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua pihak mesti mencari jalan jangka masa panjang untuk menyelesaikan beberapa permasalahan melibatkan kumpulan gelandangan termasuk bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, menghadapi masalah kesihatan mental dan sakit berpanjangan.

Katanya, perkara ini penting bagi memastikan jumlah gelandangan yang kini kira-kira 11,000 orang di seluruh negara, tidak terus bertambah pada masa hadapan.

“Pendekatan kita ialah tidak bekerja secara silo sebaliknya bekerja dengan lain-lain kementerian dan jabatan untuk selesaikan masalah itu.

“Pada masa sama, kita lihat institusi keluarga juga jangan lepaskan tangan kerana kalau kita hanya harapkan pihak kerajaan maka masalah ini tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menghargai keprihatinan syarikat swasta, individu dan badan korporat dalam menyumbang bantuan kepada golongan gelandangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kerajaan juga akan mengusahakan pengecualian cukai bagi bantuan itu kepada mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan