KUCHING, 24 Mac: Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline sedang mengkaji cadangan menawarkan penerbangan dari Kuching ke Miri.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, berkata ini adalah susulan seruan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin beberapa minggu yang lalu berikutan harga tiket sedia ada yang mahal.
“Kami sedang menimbang idea (laluan penerbangan Kuching ke Miri) berkenaan dan telah pun memberitahu beliau bahawa kami akan melakukan penelitian,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di sini, hari ini.
Katanya, ia juga bergantung kepada jumlah pesawat yang sedia ada, namun beliau yakin ia dapat direalisasikan.
“Berdasarkan pemerhatian terhadap permintaan, data menunjukkan banyak pergerakan semasa pasca COVID-19 dan saya yakin ia dapat dilaksanakan,” tambahnya.
Selain itu, Rayner menjelaskan fokus MYAirline seterusnya selepas penerbangan domestik adalah penerbangan serantau dan memberitahu bahawa penerbangan antarabangsa pertama akan bermula pada April ini.
MYAirline terbang 21 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuching, 14 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Miri dan tujuh kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Sibu. – TVS