Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang sukarelawan menunjukkan bubur lambuk Masjid Jamek, Kampung Baru di sini yang diagihkan secara percuma. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Diagihkan secara percuma hampir 100 tahun, bubur lambuk Kampung Baru jadi buruan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Setiap kali tibanya Ramadan, Masjid Jamek di sini, pastinya menjadi tumpuan warga kota.

Ini kerana masjid yang terletak di Kampung Baru ini mempunyai tradisi mengagihkan bubuk lambuk secara percuma kepada orang ramai sepanjang bulan puasa.

Lebih istimewa, tradisi berkenaan dipercayai telah dilakukan selama hampir 100 tahun.

Orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Penyelaras program, Adam Adhan Abdul Manan berkata, proses memasak bubur lambuk itu bermula seawal pukul 6 pagi.

Katanya, seramai sembilan tukang masak ditugaskan untuk memasak 15 kilogram (kg) beras menggunakan 15 periuk besar.

Penyelaras program penyediaan bubur lambuk Masjid Jamek, Adam Adhan Abdul Manan. Foto Firdaus Ismail (TVS)

“Sebaik sahaja proses masak selesai sekitar pukul 9 pagi, kumpulan kedua pula akan mengambil alih tugas di dapur iaitu mereka akan membungkus bubur lambuk ini kepada 4,000 bungkusan,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya, sama ada jawatankuasa masjid berdepan masalah kewangan ekoran kenaikan kos bahan mentah, Adam Adhan berkata, setakat ini mereka masih berupaya melakukan kerja amal itu.

“Kami menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membeli bahan mentah bagi menyediakan bubur lambuk.

Inilah bubur lambuk Masjid Jamek yang dimasak menggunakan resepi rahsia dan ‘diburu’ penggemarnya setiap tahun. Foto Firdaus Ismail (TVS)

“Apa yang boleh saya katakan, kami tidak mengurangkan bahan memasak, sebagai contoh satu periuk bubur lambuk menggunakan tujuh kg daging dan sukatan itu dikekalkan,” katanya.

Bagi seorang penggemar bubur lambuk, Hezrina Hashim berkata, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan bubur berkenaan yang sinonim dengan Masjid Jamek Kampung Baru.

Hezrina Hashim

Katanya, dia sudah beberapa tahun menikmati bubur berkenaan dan berpuas hati kerana rasanya ‘tidak berubah’.

“Saya sebenarnya bekerja di Shah Alam dan tinggal di Bangi, Selangor.

“Hari ini saya sanggup ambil cuti separuh hari kerana mahu datang beratur di sini untuk mendapatkan bubur lambuk ini yang mula diagih selepas solat Asar,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan