KUCHING: Seramai 25 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang terdiri daripada penghulu dan ketua kaum telah menerima watikah pelantikan masing-masing.
Daripada jumlah itu, lima orang KMKK merupakan lantikan baharu, manakala 20 orang lagi dilanjutkan perkhidmatan, demikian menurut kenyataan media pejabat Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Watikah lantikan disampaikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni yang juga Ahli DUN Demak Laut pada satu majlis di sini pada Rabu.
Dalam ucapannya, Dr Hazland mengingatkan setiap KMKK agar memainkan peranan dan tugasan masing-masing seperti diamanahkan dengan jayanya.
Ini kerana KMKK merupakan mata dan telinga Kerajaan Sarawak dalam memastikan keadaan kampung dan taman sentiasa aman serta sejahtera. – TVS