Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Operasi SAR sedang dijalankan oleh pihak Pejabat SAR Natuna dan Sintete ke atas kapal kargo Malaysia MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Natuna, Kepulauan Riau. Foto: Pejabat SAR Sintete

Parlimen: Kapal Dai Cat 06 pernah tutup sistem pemantauan

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Rekod menunjukkan kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 9 Januari lalu pernah menutup sistem pemantauan automatik (AIS) sebanyak tiga kali.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kapal itu dikesan menutup AIS kali pertama pada 25 Disember 2022 dan seterusnya pada 29 dan 30 Disember tahun lepas.

Baca berita berkaitan:

  1. 1. Kapal kargo dalam perjalanan ke Kuching hilang di perairan Natuna
  2. 2. Usaha kesan kapal kargo hilang diteruskan – APMM
  3. 3. “Kak, hari-hari kami tidur pakai jaket keselamatan” – Anak kapal MV Dai Cat 06

Kata Anthony, berdasarkan rekod pergerakan kapal yang dipantau oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) melalui sistem AIS, MV Dai Cat 06 belayar dari Lumut pada 23 Disember 2022.

“Kapal itu berlabuh di Perairan Sungai Besar, Selangor pada 26 hingga 28 Disember 2022 untuk penyelengaraan sistem enjin utama dan sauh.

“Posisi terakhir kapal MV Dai Cat 06 dikesan melalui pemantauan AIS adalah pada 1 Januari 2023 iaitu di sektor 9 Traffic Separation Scheme (TSS) sekitar Pulau Mungging,

“Kedudukan terakhir yang diterima melalui isyarat kecemasan dikesan di perairan Indonesia,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO – Tuaran) yang ingin tahu apakah sebenarnya yang terjadi terhadap kapal kargo berkenaan yang dilaporkan hilang di perairan Indonesia dan penyelesaian kehilangan kapal itu.

Sementara itu, jelas Anthony, sejurus maklumat kejadian kehilangan MV Dai Cat 06 diterima pada 10 Januari 2023, JLM telah mendapatkan keterangan awal daripada wakil syarikat perkapalan tersebut.

Kepada soalan tambahan Madius, Anthony menafikan kerajaan mengabaikan misi mencari dan menyelamat (SAR) kapal itu malah katanya agensi keselamatan negara berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan kapal berkenaan.
“Tidak timbul isu mengenai kos dalam operasi SAR itu (kerana) ini nyawa manusia. Kita bukan melihat kepada kos namun faktanya kapal itu hilang di perairan Indonesia, jadi untuk mencari dan menyelamat, di bawah pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Difahamkan, kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 itu dinaiki lima kru membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.

Tiga rakyat Malaysia ialah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.

MV Dai Cat 06 berlepas dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan