KUCHING, 22 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi galakan kepada pelajar untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurutnya, Kerajaan Sarawak amat bergantung kepada kepakaran dalam bidang terbabit terutamanya dalam usaha menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
“Kerajaan Sarawak bergantung kepada keupayaan anak-anak Sarawak untuk memahami subjek berteraskan Sains kerana kita sedang menerajui sektor-sektor berkaitan seperti industri hidrogen dan karbon.
“Saya sarankan anak-anak muda jangan takut dengan Sains,” katanya semasa berucap pada pada Majlis Penyerahan Blok Pentadbiran Baharu dan Blok Akademik Naik Taraf Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini, hari ini.
Abang Johari juga menyarankan agar ibu bapa terus menggalakkan anak-anak mereka untuk menceburi bidang itu bagi memperkasa penguasaan STEM.
Katanya, ibu bapa perlu bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak kerana matlamat utama adalah untuk melahirkan anak-anak yang mahir dalam subjek-subjek seperti berkenaan.
Terdahulu, Sarawak mencatatkan kemasukan pelajar dalam kelas pakej STEM pada tahun 2022 hanya kira-kira 30 peratus.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn menegaskan Sarawak perlu bekerja keras bagi mencapai sasaran 60 peratus kemasukan pelajar dalam kelas STEM. -TVS