KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menyambut baik jaminan Kerajaan Persekutuan akan melakukan perbelanjaan besar untuk melaksanakan projek pembangunan di seluruh negara.
Rodiyah berkata, beliau berharap projek yang akan dijalankan itu berimpak tinggi dan memenuhi keperluan rakyat setempat.
Dalam soal ini katanya, strategi pembangunan yang dilaksanakan haruslah menggunakan pull strategy dan bukannya push strategy.
“(Kerajaan) perlu mendengar jenis projek pembangunan yang diinginkan oleh rakyat.
“Misalnya sekiranya kerajaan hendak membina jalan raya sedangkan kawasan berkenaan sudah mempunyai kemudahan itu, tentunya tidak memenuhi keperluan,” katanya kepada TVS.
Rodiyah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa kerajaan akan berbelanja besar untuk melaksanakan pembangunan berdasarkan peruntukan lebih RM90 bilion dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Rodiyah berkata, di Sarawak, banyak kawasan yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur dan perkara itu perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.
Pada masa sama, beliau berharap agar semua projek yang telah dibahaskan dalam Dewan Rakyat sejak bulan lepas akan dilaksanakan segera kerana tidak mahu rakyat terus menanti.
“Saya percaya kebanyakan projek seperti klinik dan hospital di Batang Sadong (telah) berulang kali disuarakan di Parlimen dan bukannya setiap kali berbahas, dimaklumkan masih dalam perancangan.
“Inilah masa untuk perlaksanaan dan saya rasa rakyat ingin lihat perubahaan di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya. -TVS