PUTRAJAYA, 22 Mac: Kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4.30 petang, pada Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini kecuali di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
Menerusi kenyataan hari ini, HASiL memaklumkan bagi keempat-empat negeri itu, perkhidmatan bermula dan tamat pada waktu sama dari Ahad hingga Rabu, manakala pada Khamis, operasi ditetapkan pada 8 pagi hingga 3 petang.
“Perubahan waktu operasi itu melibatkan kaunter khidmat rundingan negeri (percukaian), pejabat satelit, duti setem dan bantuan khas kerajaan (sumbangan tunai rahmah),” menurut kenyataan itu.
HASiL turut memberitahu waktu operasi bagi e-Janji Temu HASiL untuk perkhidmatan di kaunter khidmat rundingan negeri (percukaian) dan pejabat satelit di semua negeri bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Penerimaan bayaran di kaunter duti setem ditetapkan setakat 12Â tengah hari sahaja.
Perkhidmatan HASiL Care Line (HCL) akan bermula dari 9 pagi hingga 4.30 petang dan perkhidmatan Telefonis bermula dari 8 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari Khamis di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor yang akan bermula pada 8 pagi hingga 3 petang.
HASiL menjelaskan Pusat Pengurusan Terimaan HASiL (PPTH) di Kuala Lumpur; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak beroperasi dari 8 pagi hingga 3 petang untuk perkhidmatan tunai manakala perkhidmatan selain tunai adalah dari 8 pagi hingga 3.30 petang.
Sementara itu, waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara bermula hari ini hingga 20 April bermula pada 8 pagi hingga 4.30 petang, dari Isnin hingga Ahad.
Operasi di UTC pada Jumaat pula adalah dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari bagi Semenanjung, Sarawak (8 pagi hingga 11.45 pagi) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (8 pagi hingga 11.30 pagi). – TVS