Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyanyi terkenal Winnie Albert dan influencer TikTok Ulatlat antara tetamu istimewa dalam program masakan Ramadan terbitan TVS, Aroma Sungkei. Foto: TVS

Masak sakan hingga kuali terbang? Saksikan Aroma Sungkei, rancangan masakan TVS sempena Ramadan 2023

ByNurul Amarlina

BERTEMUNYA lagi kita dengan bulan Ramadan, bulan mulia di mana umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa selama sebulan.

Pada bulan ini, kandungan-kandungan rancangan akan bertumpu pada program ibadah dan juga rancangan masakan untuk memberi idea kepada penonton-penonton apakah sajian yang boleh disediakan semasa berbuka puasa, atau ‘sungkei’ dalam dialek Melayu Sarawak.

TVS tidak ketinggalan untuk menyiarkan Aroma Sungkei, sebuah program masakan khas sempena Ramadan yang akan dihoskan oleh jurusolek TVS Orden Syam dan pembaca berita TVS Sheera Shaheera.

TVS bertemu dengan Orden dan Sheera untuk berkongsi pengalaman menarik mereka ketika merakam Aroma Sungkei.

Penyampai radio Fir Affandi dan pelakon Sherry Al-Hadad antara tetamu istimewa dalam program masakan Ramadan terbitan TVS, Aroma Sungkei. Foto: TVS

Dari skala 1 hingga 10, berapakah markah anda bagi skil memasak anda sendiri?

Sheera: 6/10. Tapi ingin saya sebutkan di sini, saya bukanlah tukang masak terhandal, saya hanya berkongsi menu untuk juadah puasa. Sebab bila Ramadan tiba, macam-macam kita nak makan, kalau singgah ke bazar banyak sangat makanan nak fokus, jadi dalam Aroma Sungkei saya dan Orden memberi idea apa nak masak untuk berbuka.

Orden: 5/10. Potong bawang pun tak pandai, jadi tak dapatlah nak beri markah 8/10 (ketawa). Sebelum ini, saya memang pernah jadi tetamu untuk program memasak, contohnya program Cooking Orang Bujang. Bila dibimbing saya pun mula meminati untuk terlibat dalam program masakan. Jadi bila Nazuan (penerbit) mempelawa saya sebagai hos rancangan ini, saya pun bersetuju untuk menjadi hos Aroma Sungkei bersama Sheera.

Dengar-dengar dalam program ini ada kuali terbang?

Sheera: (ketawa) Syok sangat jadi hos, Orden ‘terbangkan’ kuali!

Orden: Bila orang yang tak pandai masak disuruh masak, memang macam-macam berlaku ketika penggambaran. Masa itu kami tengah goreng nasi. Masa saya cakap “Kembali lagi dalam Aroma Sungkei!”, tiba-tiba tangan saya ‘terbangkan’ kuali sehingga makanan terjatuh. Saya yang tak pernah panik tiba-tiba jadi panik. Dah satu hal nak bersihkan lagi tempat memasak. Saya minta maaf dengan kru sebab masa itu kami nak habiskan penggambaran cepat-cepat sebelum hujan. Tapi mereka gelak, geli hati dengan aksi saya. Saya gunakan kuali itu sampai habis penggambaran. Kalau penonton tengok kuali saya ada kesan lekukan, maknanya aksi kuali terbang itu sudah terjadi.

Artis Iban terkenal, Melissa Francis antara tetamu istimewa dalam program masakan Ramadan terbitan TVS, Aroma Sungkei. Foto: TVS

Apakah makanan yang bakal diperagakan dalam Aroma Sungkei?

Sheera: Dalam program ini menu-menu kami berasal dari pelbagai tempat dari seluruh negara. Kebanyakan menu ialah dari Sarawak, tetapi kami juga memasak juadah Melaka, kari nyonya, masakan Kelantan, dan juga masakan Arab. Selain itu kami manfaatkan makanan sunnah, seperti buah kurma. Terdapat banyak pencuci mulut berasaskan kurma dalam Aroma Sungkei.

Susah tak bagi orang yang baharu belajar memasak untuk memasak menu Aroma Sungkei?

Sheera: Dalam program ini kami permudahkan cara memasak. Contohnya, salah satu menu kami ialah manok pansuh. Sebenarnya mudah sahaja nak masak tanpa buluh dan kami akan tunjukkan caranya dalam Aroma Sungkei.

Orden: Bagi mereka yang tidak pandai memasak, memang mudah untuk ikuti resipi kami kerana kami akan tunjuk setiap langkah secara teliti.

Penyampai berita Iban TVS, Steward Dawi antara tetamu istimewa dalam program masakan Ramadan terbitan TVS, Aroma Sungkei. Foto: TVS

Apakah cabaran yang dihadapi sewaktu penggambaran?

Sheera: Masak sesuatu yang baharu seperti juadah Kelantan. Banyak menu yang Sheera masak buat pertama kali dalam Aroma Sungkei.

Orden: Bagi saya cabarannya ialah penggambaran berterusan selama tiga minggu. Kadang-kadang masa menunggu sebelum memulakan penggambaran mengambil masa yang agak lama kerana kru perlu menyediakan bahan masakan terlebih dahulu. Jadi agak mencabar kerana Orden perlu sentiasa mengekalkan tenaga pada setiap episod. Satu lagi cabaran ialah memasak kambing bakar. Nampak mudah sebab ia digolek tetapi sewaktu letakkan perasa, Orden terletak terlebih garam sehingga terlebih masin!

Apakah rutin masakan Sheera dan Orden setiap Ramadan?

Sheera: Sheera duduk seorang jadi selalu masak ‘simple’ dalam kuantiti banyak supaya dapat makan untuk berbuka dan juga untuk sahur. Sheera suka masak ayam paprik dan juga nasi goreng kerana menunya yang versatil.

Orden: Orden selalu makan luar, jadi kos berbelanja lebih besar. Lepas ini mungkin Orden akan masak setelah belajar dari program Aroma Sungkei. Satu lagi, lepas ini dah tak takut buat program masakan sebab dah tahu asas memasak sambil bercakap depan kamera.

Penyanyi Sarawak, Azie Mustapha antara tetamu istimewa dalam program masakan Ramadan terbitan TVS, Aroma Sungkei. Foto: TVS

Apakah menu yang paling digemari dalam program Aroma Sungkei?

Sheera: Ayam kacang ma. Ini pertama kali Sheera masak dan sangat terkejut sebenarnya sebab rupa-rupanya mudah. Sebelum ini ingatkan resipinya rumit.

Orden: Bubur pedas. Ini menu paling sedap bagi Orden.

Siapakah tetamu yang turut diundang dalam Aroma Sungkei?

Sheera: Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad kami ada tetamu jemputan seperti Winnie Albert, Melissa Francis, Ulatlat dan… kalau nak tahu lagi, tengoklah Aroma Sungkei.

Orden: Antara tetamu yang Orden paling teruja nak jumpa ialah Ulatlat. Sebab dia sangat lawak di TikTok, saya ingin nak jumpa dia depan-depan. Rupanya memang seorang yang lucu di media sosial dan juga bila jumpa depan-depan. Memang ‘best’ berkenalan dengannya, senang dibawa bincang. Artis lain yang dijemput memang sudah menjadi rakan Orden seperti Melissa Francis, Winnie Albert, Ir Radzi dan ramai lagi.

Aroma Sungkei mula bersiaran pada 1 Ramadan setiap hari jam 5.15 petang, ulangan hari keesokannya jam 10.15 pagi di TVS saluran 122 Astro dan MYTV. 

Anda juga boleh menonton episod penuh Aroma Sungkei di YouTube TVS Entertainment dan sedutan menarik di media sosial TVS Entertainment di Facebook, Instagram dan TikTok.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan