KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kerajaan mengalu – alukan idea baharu serta penglibatan pelbagai pihak ke arah menjayakan Dasar Sekuriti Makanan Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau berharap pihak yang mempunyai idea baharu supaya mengemukakan kepada sekretariat untuk dinilai.
Katanya, sekiranya idea yang dikongsi itu berpotensi untuk dikembangkan kepada perlaksanaan, kerajaan akan mengkaji untuk melanjutkan usaha sama berkenaan bagi merealisasikan kerjasama semua sektor.
“Oleh sebab itu, kita mencadangkan kalau sesiapa sahaja termasuk pemain industri, universiti, penyelidik yang mempunyai produk seperti makanan haiwan, benih dan sebagainya berhubung dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kalau mereka ada produk yang baik, sistem atau alternatif kepada makanan haiwan, sudah pasti ia memerlukan kajian lanjut untuk mengesahkan makanan alternatif itu setanding dengan yang terdapat di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Negara di sini hariini
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri mohamad Sabu.
Berkenaan mesyuarat hari ini, Fadillah memberitahu, antara perkara yang dibincangkan termasuk Kertas Pembentangan Khas Struktur Tadbir Urus Sekuriti Makanan Negara dan Inisiatif Pemantapan Produktiviti Bekalan Makanan Negara.
“Pembentangan khas pertama bertujuan untuk memaklumkan struktur dan terma rujukan serta keanggotaan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) termasuk keahlian bagi lima kluster di bawahnya,” katanya.
Fadillah berkata, hasil mesyuarat akan dibawa kepada mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka akan berlangsung pada bulan depan. -TVS