Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sesi penanaman pokok semasa Program Penanaman Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2023 hari ini. Foto: TVS

Hutan Simpan Kerajaan Bakam akan dijadikan tempat rekreasi

MIRI, 21 Mac: Penanaman pokok-pokok baharu di Hutan Simpan Kerajaan Bakam bagi memulihkan kawasan hutan yang pernah hangus berpotensi menjadi tempat rekreasi untuk orang ramai pada masa akan datang.

Pegawai Hutan Wilayah Miri, Asan Odau berkata, lokasi hutan yang berdekatan dengan bandaraya Miri itu sesuai untuk dijadikan tempat mendaki dan berkhemah apabila sudah dipulihkan kelak.

“Kita membuat pemulihan hutan ini dengan menanam pokok-pokok baharu di tempat yang pernah hangus. Apabila keadaan hutan sudah kembali pulih, kita boleh membuka tempat ini sebab tempat ini dekat dengan bandaraya Miri untuk jadi tempat rekreasi.

“Mungkin apabila pokok sudah tinggi, kita boleh mewujudkan kawasan berkhemah di dalam hutan simpan ini sebagai hutan lipur seperti tempat lain, hutan ini akan kelihatan cantik dan sesuai untuk aktiviti mendaki. Kalau ada keluarga hendak datang untuk berekreasi di sini, mereka boleh terlibat dengan aktiviti penanaman pokok di tempat yang masih perlu dipulihkan,” katanya semasa Program Penanaman Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2023 hari ini.

Katanya, selain daripada aktiviti mendaki dan perkhemahan, terdapat juga perancangan untuk melakukan aktiviti ‘mandi hutan’ bagi mereka yang ingin berjalan di dalam hutan dengan pokok-pokok tertentu.

“Tanah di sini masih berstatus hutan yang lokasinya berdekatan dengan bandaraya. Kita menjangkakan pada masa akan datang, orang berminat untuk datang ke hutan seperti ‘mandi hutan’. Di Jepun ada aktiviti ‘mandi buluh’, kita buat ‘mandi hutan’ di sini, datang berjalan dalam hutan dengan pokok-pokok yang tertentu seperti pokok bintangor dan peropok,” katanya lagi.

Seramai 90 pegawai kakitangan Pejabat Hutan Wilayah Miri hadir ke program itu untuk menanam pokok bintangor bukit, bintangor laut dan peropok.

Sebanyak 1,111 pokok yang akan ditanam secara berperingkat dengan keluasan satu hektar.

Pokok bintangor bukit dan peropok dijangka akan menjadi pokok matang 45 tahun akan datang manakala pokok bintangor laut akan mengambil masa 15 tahun untuk matang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan