KUCHING, 20 Mac: Sepanjang Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai tahun ini, TVS akan menyajikan pelbagai rancangan dan telemovie menarik, malah kebanyakannya bercirikan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG) Rizal Zulkapli berkata program-program ditayangkan itu bakal memberi perspektif yang berbeza, lebih segar dan menarik.
“Program yang akan ditayangkan ini banyak berkisar tentang bagaimana penduduk Sarawak menyambut Ramadan dan meraikan Syawal,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘Sarawak Uncovered: Sneak Peek at TVS’ Latest Gem’ di sini, malam ini.
Beliau memberi contoh, program masakan akan menampilkan resepi masakan popular dan unik di Bumi Kenyalang yang memiliki penduduk berbilang kaum.
Pada Hari Raya Aidilfitri pula, TVS bakal menayangkan rancangan-rancangan mengenai kemeriahan sambutannya.
Antara program menarik ialah Aroma Sungkey, Salam Nusantara, Suntong Tutok, Lan Tun Detektif Raya, Land of Bidayuh dan Kumang Telemovie.
Sempena Hari Gawai pula, Rizal berkata TVS juga akan mengetengahkan pelbagai rancangan-rancangan menarik.
Menurutnya lagi, program-program televisyen yang disajikan TVS menunjukkan komitmennya dalam memberi inspirasi kepada para penonton.
TVS berharap akan terus membawa kelainan pada 2023 melalui idea baharu yang diketengahkan bakat-bakat di Sarawak, jelasnya.
“TVS merupakan sebuah platform terbaik untuk mereka yang berbakat di Sarawak mengetengahkan idea mereka.
“2023 merupakan tahun yang sesuai untuk berada di Sarawak kerana terdapat pelbagai perayaan dan aktiviti ekonominya yang terus rancak. Ini termasuk dari segi industri pelancongan, acara perniagaan dan acara di Sarawak.
“Kita berharap kandungan yang menarik ini dapat dibawakan oleh TVS di kaca TV anda serta platform digital kami,” katanya.
TVS yang menyajikan pelbagai program menjelang Ramadan dan Syawal merupakan platform pemasaran produk-produk.
Jangan lupa saksikan di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV. Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial tvsentertainment. – TVS