KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir mesyuarat kali kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan di sini malam tadi.
Mesyuarat yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga masing – masing Presiden UMNO dan Ketua Whip GPS.
DAP pula diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook manakala Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub turut hadir.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing pula antara pemimpin politik lain dari Sarawak yang turut sertai mesyuarat berkenaan.
Sebelum ini, mesyuarat kali pertama berlangsung pada 6 Februari lepas.
Sementara itu, Anwar berkata, agihan kerusi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan dimuktamadkan dalam tempoh singkat.
“Ia akan dibincang secara terperinci oleh jawatankuasa yang dibentuk membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan. -TVS