MUKAH, 19 Mac: Masyarakat Daro serta pengunjung luar kini boleh menarik nafas lega dengan adanya kemudahan Stesen Minyak Bersepadu PETROS di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad merakamkan jutaan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah berjaya merealisasikan pembinaan stesen minyak yang pertama dibina di Bahagian Mukah.

“Pembinaan stesen minyak itu sudah pasti dapat memberi kemudahan kepada masyarakat dan pengunjung luar yang datang ke Daro dan memudahkan mereka mendapatkan bekalan petrol dan diesel.
“Sebelum ini, pengunjung luar yang datang ke Daro sebaik sahaja tiba di Daro sudah pasti mereka akan terus mengepam petrol di stesen minyak yang terletak di Tebingan Sungai Pasar Daro yang mana mereka kadang-kadang terpaksa berbaris panjang,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Stesen Minyak Bersepadu PETROS di sini, hari ini.
Baca artikel berkaitan >>>>> Delta Rajang berpotensi jadi satu kawasan ekonomi baharu
Tambahnya lagi, perkhidmatan stesen minyak di Daro beroperasi sehingga jam 6 petang sebelum ini tetapi dengan adanya stesen PETROS ini waktu operasinya sehingga jam 10 malam.

Pada masa sama, Safiee turut menyeru penduduk setempat agar sentiasa bersedia untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan sama ada dari segi ekonomi dan taraf hidup.
Katanya lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak sentiasa membawa pelbagai kemudahan yang membolehkan taraf hidup rakyatnya ditingkatkan lagi.
Dalam pada itu, juruwang Daro Nur Haniza Abas, 23, berkata, setesen minyak itu boleh mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda.
“Stesen ini beroperasi dari awal jam 6 pagi sehingga jam 10 malam jika berbanding dengan stesen minyak kami yang terdahulu yang hanya beroperasi seawal jam 6 pagi sehingga jam 6 petang sahaja,” katanya kepada pemberita TVS di sini, baru-baru ini.
Katanya lagi, masa ditawarkan amatlah memudahkan lebih-lebih lagi sekira berlakunya kecemasan seperti kenderaan ambulans dan lori Bomba untuk mendapatkan bekalan minyak dan diesel.
Selain itu, Ketua Kampung Badong, Daro, Haslimi Hasan berkata, kewujudan stesen minyak PETROS dapat memudahkan penduduk setempat terutamanya waktu kemuncak seperti musim perayaan.
“Dengan adanya stesen minyak ini, Alhamdulillah, selepas ini kita tidak risau lagi dengan ketiadaan minyak terutamanya sewaktu selepas habis bekerja.
“Lebih-lebih lagi, selepas pukul enam, agak sukar untuk kami mendapatkan bekalan petrol,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kesyukuran beliau kepada kerajaan negeri kerana telah mendengar keluhan rakyat sebelum ini.
Senada dengan Haslimi, Kaunselor Adykurniawan Abdullah berkata, dia terpaksa mendapatkan minyak di stesen minyak yang lama sehari sebelum untuk urusan kecemasan seperti menghantar anak-anak mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.
“Disebabkan stesen minyak lama tutup jam 6 petang, jadi dengan adanya Stesen Minyak PETROS ini kami dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.
“Malah, pengangkutan berat yang membawa peralatan pembinaan rumah juga mudah mendapatkan minyak serta perkara ini dapat menyumbang kepada taraf ekonomi penduduk di sini,” tambahnya lagi. – TVS