LUNDU, 19 Mac: Inisiatif Program Kembali ke Sekolah berupaya meringankan beban ibu bapa khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi memastikan kebajikan setiap lapisan rakyat terbela, kerajaan sentiasa mencari dan melaksanakan pelbagai program-program yang memberikan manfaat secara menyeluruh kepada mereka.
Program tersebut katanya, tidak terbatas kepada satu jangka masa sahaja sebaliknya pelaksanaan program-program tersebut bergantung kepada keperluan dan permintaan semasa di sesebuah kawasan.
“Keadaan ekonomi kita sekarang ini amat mencabar untuk kita semua dan dari sebab itulah kami di Pusat Khidmat Parlimen Santubong sentiasa mencari jalan bagaimana kita dapat meringankan beban masyarakat kita ini,” katanya ketika berucap pada Program Gunting Rambut Percuma dan Program Back To School di Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera di sini, hari ini.
Beliau berkata, banyak organisasi korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini yang ingin turut serta dalam menyumbangkan dan membantu menjayakan program-program manfaat rakyat.
“Namum bergitu, wakil rakyat atau pemimpin masyarakat setempat perlu bijak dan sentiasa berusaha untuk mencari seterusnya mendekatkan individu, organisasi atau NGO terlibat bagi membantu mereka menjayakan program-program manfaat rakyat.
“Sebentar tadi saya ada berbincang apa lain program yang hendak dibantu dari segi pertanian dan kerja tangan kita, namun yang penting kami perlukan data supaya kita dapat merancang program bagi setiap kawasan di Parlimen Santubong ini,” katanya.
Terdahulu, Nancy menyerahkan sumbangan beg serta peralatan sekolah kepada 150 pelajar sekolah rendah dalam senarai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lundu.
Beliau turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 11 penerima terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta NGO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu berjumlah RM19,000. – TVS