SARIKEI, 19 Mac: Enam tahun menunggu, penduduk Rumah Panjang Saba yang sebelum ini kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran, akhirnya menduduki kediaman baharu selepas rumah panjang mereka siap dibina.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, rumah yang kini dikenali Rumah Panjang Grace itu, dibina dengan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM1 juta.
“Rumah Panjang Saba telah hangus pada tahun 2017, Alhamdulillah pada hari ini penyerahan tapak rumah dan penyerahan rumah baharu. Sekarang ini digantikan oleh Tuai Rumah Grace, yang menelan belanja RM770,000 di bawah RTP saya. Sebenarnya RTP ini RM1 juta, dengan adanya penyerahan ini, kita berharap mereka dapat kehidupan baharu dan InsyaAllah kita akan membuat penambahbaikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Rumah Panjang Grace Nanie, semalam.
Beliau mendedahkan, projek itu berdepan pelbagai halangan sebelum berjaya dilaksanakan antaranya, mengenal pasti tapak yang sesuai, selain penularan wabak COVID-19 menyebabkannya sedikit tertangguh.
Sebagai langkah susulan katanya, usaha menyediakan bekalan elektrik sedang dilakukan bagi membolehkan penduduk menikmati kemudahan itu menjelang sambutan Hari Gawai nanti.
“Rumah ini hangus pada tahun 2017, pada hari ini baharu siap setelah mengambil masa enam tahun. Pada masa itu kita tidak mempunyai peruntukan bencana, di mana kebiasaannya mereka diberi peruntukan RM70,000 untuk satu buah bilik atau pun satu buah rumah tetapi masa itu kita tidak dapat menerima peruntukan tersebut. Jadi, saya menggunakan RTP saya RM1 juta untuk membangunkan rumah ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Penghulu Sare, Bidai Gisang menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada rumah panjang berkenaan.
Pembinaan rumah panjang baharu itu katanya, membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat masalah rakyat.
“Terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Datuk Len Talif Salleh atas usaha beliau menjadikan rumah ini walaupun mengambil masa yang agak panjang. Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak melalui parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana ia satu kerja yang amat memuaskan rakyat di kawasan Sare. Terima kasih,” katanya. – TVS