KUCHING, 19 Mac: PFA Odin Sarawak bukan tandingan skuad Johor Darul Ta’azim (JDT) selepas pasukan yang berpangkalan di Kuching itu dibelasah 3-8 pada perlawanan keempat saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), malam tadi.
PFA Odin yang dibarisi pemain muda dalam kalangan anak Sarawak gagal mengimbangi perlawanan sejak wisel permainan dibunyikan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor, itu menyaksikan gawang gol PFA Odin bocor lapan kali berturut-turut.
Jaringan-jaringan skuad Harimau Selatan masing-masing disumbangkan oleh Awalludin Mat Nawi pada minit ketiga, Ekmal Shahrin pada minit kelima dan ke-29, Azri Rahman pada minit ke-12 dan ke-24, A. Kisshaaen pada minit ke-17, Saad Sani pada minit ke-18 dan Radzwil Ahmad pada minit ke-35.
PFA Odin kemudiannya berjaya mengurangkan defisit gol hasil tiga jaringan masing-masing disumbangkan oleh Dzul Idzwaniezam pada minit ke-35 dan Iskandar Harun pada minit ke-37 dan ke-39, namun ia sudah terlambat untuk menghalang JDT daripada meraih kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Faizal Zamri itu kini terus terperosok di dasar liga dengan sekadar mengutip tiga mata setelah mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan. – TVS