JAKARTA, 19 Mac: Usaha mencari mangsa tanah runtuh yang berlaku di Serasan, Kabupaten Natuna ditamat selepas 13 hari operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilakukan.
Daripada hasil usaha SAR yang dijalankan pasukan SAR bersama terdiri daripada Basarnas, Kerajaan Wilayah Natuna, Polis, TNI, dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), operasi itu dapat berjalan secara optimum walaupun menghadapi cabaran cuaca buruk.
Pasukan SAR berjaya menemui 50 mangsa yang maut manakala empat orang masih hilang atau tidak ditemui.
Operasi itu dijalankan dengan mengerahkan 700 orang, tujuh alat berat, dron, dan enam anjing pengesan K-9 untuk mencari di lokasi berkenaan.
Menurut Datuk Bandar Natuna, Wan Siswa selaku Ketua Operasi, penamatan operasi SAR itu adalah hasil persetujuan bersama ahli keluarga selepas hari ke-13 pencarian.
“Kami sudah mencuba sedaya upaya mungkin, tetapi nampaknya masih ada yang kurang dan belum berjaya menemukan seluruh mangsa dan ahli keluarga pun telah bersetuju,” katanya.
Pihaknya juga berkata, ini merupakan tanah runtuh terburuk sepanjang sejarah Indonesia dengan jumlah mangsa terbanyak.
Dengan berakhirnya operasi SAR malam tadi, semua anggota pasukan akan berhenti mencari.
Sebelum ini, bencana tanah runtuh itu berlaku pada 6 Mac 2023, di mana seramai 54 penduduk tertimbus di bawah runtuhan tanah yang melanda kawasan tersebut. – TVS