KUCHING, 20 Mac: Kolej Cyberjaya Kuching yang dulu dikenali sebagai Kolej Asia Metropolitan menganjurkan Hari Terbuka Educational Funfair yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini.
Bermula seawal jam 10 pagi sehingga 4 petang, Kolej Cyberjaya Kuching turut menyediakan pelbagai program serta aktiviti menarik yang bertemakan Pesta Pendidikan.
Ketua Eksekutif Kolej Cyberjaya Kuching, Doreen Tan berkata, Hari Terbuka Educational Funfair yang diadakan ini adalah salah satu inisiatif bagi menarik minat pelajar mahupun orang ramai untuk turut serta memeriahkan program.
“Kolej Cyberjaya Kuching amat berbesar hati untuk menganjurkan Hari Terbuka Educational Funfair untuk kami berkongsi pengalaman dengan komuniti di Kuching bahawa pendidikan boleh menjadi sesuatu yang menarik melalui kursus yang kami tawarkan.
“Kami juga cuba menerapkan unsur ceria dan riang dalam pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar dapat merasai keseronokan di sini kerana apabila pelajar berasa seronok, mereka lebih mudah mengingati sesuatu. Jadi kami ingin membawa kepada masyarakat di Kuching ini bahawa pembelajaran itu perkara menyeronokkan,” katanya ketika ditemui TVS selepas merasmikan Hari Terbuka Educational Funfair di Kolej Cyberjaya Kuching.
Tambahnya, pihak mereka juga akan sentiasa menambah baik dan memberi kelainan untuk setiap festival pendidikan yang akan diadakan pada masa akan datang.
“Jadi akan ada empat festival pendidikan yang kita akan adakan dalam setahun. Setiap festival pendidikan akan membawa tema yang berbeza. Jadi, untuk tema pada kali ini ialah Pesta Pendidikan. Jadi, sertai kami di karnival pendidikan seterusnya dan ketahui tema selanjutnya,” katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah bagi sektor pembelajaran dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan, Then Mui Kin serta Ketua Bahagian Pemasaran Kolej Cyberjaya Kuching, Mythnya Abu.
Kolej Cyberjaya Kuching menawarkan pelbagai program seperti Program Diploma Kesihatan Persekitaran, Diploma Fisioterapi, Diploma Penjagaan Kesihatan, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, serta Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. -TVS