KUCHING, 17 Mac: Seorang lelaki membuat laporan polis palsu kerana bimbang dimarahi isterinya kerana belum membayar kos rawatan berjumlah RM2,000 kepada pusat jagaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitenden Merbin Lisa berkata lelaki berumur 67 tahun itu mendakwa disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di sini pada Khamis (16 Mac) dan menyebabkannya kerugian RM2,000 tunai dan dokumen pengenalan diri.
“Siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching mendapati wujud keraguan dalam laporan polis yang dibuat.
“Hasil siasatan lanjut, subjek (lelaki) mengaku membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat ke atas perbuatan subjek yang membuat laporan polis palsu, katanya lagi.
Menurutnya lagi, 13 laporan polis palsu berkaitan mangsa samun diterima polis Kuching pada 2022, manakala tiga laporan diterima dalam tempoh 1 Januari hingga 16 Mac tahun ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu sehingga memberikan gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah selain boleh mendatangkan kemudaratan,” katanya. – TVS