PULAU BRUIT (DARO), 17 Mac: Inovasi baharu dalam penghasilan produk makanan berasaskan ikan lumek mampu meningkatkan pengeluaran produk hiliran, sekali gus menambah pendapatan pengusahanya terutama di kawasan utara Pulau Bruit.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, perkembangan positif itu membuktikan lumek boleh dikomersialkan melalui pelbagai pendekatan dan kreativiti.
Keadaan cuaca yang tidak menentu juga mendorong peningkatan permintaan pasaran ikan itu.
“Sudah pasti ini bagus untuk semua warga nelayan dan pengusaha ikan lumek salai khususnya di Pulau Bruit.
“Malah, kita juga difahamkan beberapa hidangan baharu yang menggunakan lumek salai juga diperkenalkan, bukan hanya digoreng dan dicicah tetapi juga djadikan asam pedas, sambal yang boleh dibotolkan dan sebagainya. Saya rasa ini satu perkembangan yang baharu,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, pendekatan baharu dalam penghasilan lumek secara tidak langsung dapat melonjak ekonomi penduduk setempat.
Perkembangan berkenaan juga harus dilihat sebagai peluang dan ruang untuk mengkomersialkan produk tersebut pada masa depan.
“Saya harap agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) atau Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dapat membantu pengusaha lumek salai ini dengan memberi input-input baharu dan cara menyalai dengan lebih moden. Ini juga sebahagian daripada tarikan pelancong,” katanya. – TVS