KUCHING, 16 Mac: Sebanyak 490 aset wakaf berdaftar dengan nilai RM11.86 juta di Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak itu, berdasarkan statistik Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji di Malaysia, angka berkenaan merangkumi terdapat 21,565 harta wakaf berdaftar setakat 2019.
Baca artikel berkaitan > > > Abang Johari wakaf RM1 juta kepada UNIMAS
Abang Johari mendedahkan ia meliputi pelbagai jenis aset termasuklah tanah, bangunan dan wang tunai.
“Wakaf adalah cara terbaik untuk menyokong sosioekonomi dan membantu membina masyarakat kukuh.
“Dari segi nilai aset wakaf di Malaysia, laporan Bank Dunia menganggarkan bahawa jumlah nilai aset wakaf di Malaysia adalah lebih kurang RM100 bilion (AS$24 bilion) setakat 2019.
“Laporan itu juga menyatakan bahawa nilai aset wakaf di Malaysia semakin berkembang dan berpotensi untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa dan Endowment 2023 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, pada Khamis.
Turut hadir pada persidangan tersebut ialah Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Kadim Suaidi.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerajaan pusat turut giat menggalakkan pembangunan dan penggunaan aset wakaf untuk tujuan sosial dan ekonomi.
Situasi terbukti dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bakal mewujudkan wakaf madani dengan aset bernilai RM1 bilion.
Aset itu kata Anwar, terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan serta akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.
Antara objektifnya ialah menyumbang 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030. – TVS