Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar fail menunjukkan anggota TUDM melihat melalui tingkap pesawat CN235 semasa operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, di Selat Melaka pada 2014. Foto Reuters.

Parlimen: MH370 beri pengajaran kepada Malaysia – MINDEF

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Tragedi MH370 telah memberi pengajaran kepada Malaysia berkaitan pengendalian keselamatan ruang udaranya, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas kejadian itu, dua sistem radar yang masing – masing dimiiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diintegrasikan untuk tujuan perkongsian maklumat.

Baca artikel barkaitan >>>>> Parlimen: 18 pesawat tempur FA-50 dibeli Malaysia versi terkini – MINDEF

Kata beliau, langkah itu menjadikan pengawalan ruang udara Malaysia ketika ini amat rapi dan tiada kelompongan yang perlu dijadikan isu.

“Selepas MH370, kita belajar, bahkan Amerika Syarikat belajar daripada 9/11.

“Kerana tidak ada komunikasi dua entiti iaitu air force dengan CAAM negara masing – masing, kita juga begitu, MH370 tidak berkomunikasi tapi selepas kejadian itu, kita telah intergrasi dua sistem.

“(Sekarang) apa sahaja yang lalu di ruang udara, radar kita dapat detect, dua sistem ini (radar TUDM dan CAAM) berkomunikasi, (dahulu) tentera ingat laluan komersial biasa, dia (tentera) tidak peduli, sekarang masing – masing ambil maklum dan peduli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Perikatan Nasional – Sik) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan kebolehoperasian radar – radar TUDM di sepanjang Laut China Selatan bagi tujuan pemantauan maritim.

Mohamad turut menjelaskan, ketika ini TUDM hanya memiliki satu radar besar di Gunung Ngili, Sarawak yang berfungsi pada tahap penuh.

Katanya radar itu mempunyai kapasiti mengesan objek mendatar sejauh 250 kilometer (km) dan 60 000 kaki di udara.

“Sebelum ini, kita mempunyai dua radar dengan satu lagi terdapat di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan namun disebabkan faktor usia, radar itu tidak dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya beliau.

Namun kata beliau, ketika ini Malaysia turut memiliki tiga lagi radar iaitu di Kudat dan Tawau (Sabah) dan satu lagi di Bintulu, Sarawak di bawah penyeliaan CAAM.

“Ini jelas dan semua maklumat berdasarkan tiga radar ini akan sampai ke Markas Pertahanan Operasi Udara TUDM dan Markas CAAM di Subang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan Kementerian Pertahanan untuk membeli tiga dron jarak jauh Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS) menerusi tender antarabangsa.

“Dron ini dapat terbang selama 48 jam, akan sentiasa berada di ruang udara kita dengan kapasiti pengawasan beratus kilometer (km), kita tahu apa berlaku di kawasan kita dan luar kawasan,” katanya.

Katanya, pengoperasi dron berkenaan kelak akan membolehkan keputusan tentang tindakan pertahanan negara disegerakan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan