KUCHING, 16 Mac: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sarawak berhasrat untuk terlibat dalam usaha menangani isu perubahan iklim dunia.
Yang Di-Pertua PPPM Cawangan Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata persatuan mahu turut serta kerana mengambil kira setiap masyarakat wajar mengambil berat terhadap keadaan iklim semasa.
Menurutnya, usaha untuk menangani isu global berkenaan perlu dilaksanakan secara holistik, justeru itu, Pandu Puteri katanya juga mampu menyumbang ke arah itu seperti yang termaktub dalam undang-undang persatuan tersebut.
“Sebagai pandu puteri, kita harus menjaga persekitaran dan alam sekitar seperti yang dinyatakan dalam Undang-Undang Pandu Puteri keenam.”
“Apa sahaja yang kita lakukan sekarang dan terus lakukan, hendaklah memberikan manfaat, bukan sahaja untuk diri kita tetapi juga untuk generasi yang akan datang.”
“Terdapat pelbagai Pek Aktiviti Persatuan Pengakap Puteri dan Pandu Puteri Dunia (WAGGS) melibatkan modul serta kempen yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sambutan Hari Peringatan Sedunia 2023 peringkat negeri Sarawak di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Bercakap mengenai Hari Peringatan Sedunia, Dayang Morliah memberitahu acara tahunan itu disambut di seluruh dunia dengan pelbagai tema yang berlainan mengikut isu semasa.
“Seperti yang saya maklumkan tadi tema Hari Peringatan Sedunia 2023 bermaksud Dunia Kita Masa Depan Kita Yang Aman – Persekitaran dan Kedamaian menunjukkan bahawa kita semua perlu memahami cara persekitaran kita dan alam semulajadi berfungsi dan kemudian mencari cara untuk melindungi persekitaran dan alam sekitar semula jadi.”
“Kita perlu sama-sama memikirkan bagaimana gadis dan wanita terjejas akibat perubahan iklim dan apa yang boleh dilakukan untuk mewujudkan dunia yang seimbang dan aman,” jelasnya.
Sambutan kali ini telah diraikan lebih 100 pemimpin dan ahli pandu puteri dari Kuching, Padawan, Sarikei, Serian dan Simunjan.
Majlis bersejarah hari ini telah disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merangkap Penaung PPPM Cawangan Sarawak. -TVS