Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib.

Parlimen: Kerajaan laksana inisiatif tingkat penerimagunaan ESG

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Kerajaan berusaha meningkatkan penggunaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui inisiatif Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu bertujuan untuk menggalakkan dan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

Katanya, sejumlah RM420 juta atau 21 peratus daripada keseluruhan RM2 bilion dana LCTF setakat ini telah dimanfaatkan oleh PKS.

“Usaha sedang dipergiat untuk meningkatkan penerimagunaan ESG dalam kalangan PKS memandangkan tahap kesedaran dalam kalangan PKS adalah pada tahap 42 peratus berdasarkan laporan tinjauan awam oleh SME Corporation Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional – Kubang Pasu) yang ingin tahu inisiatif kerajaan untuk memperkasakan ESG di Malaysia, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menurut Hanifah, kerajaan juga menerbitkan Sukuk dan Skim Geran Bon di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menggalakkan lebih banyak syarikat membiayai projek hijau, sosial dan mampan.

“Pada masa ini, semua Syarikat Senarai Awam (PLC) di Bursa Malaysia digalakkan untuk membuat pelaporan amalan penjagaan yang mematuhi prinsip ESG.

“Pelaporan penjagaan ini dijangka akan dikuatkuasakan oleh Bursa Malaysia kepada semua PLC bermula tahun depan,”katanya.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menambah, kerajaan turut melaksanakan dasar Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi menggalakkan dan membudayakan pembelian produk dan perkhidmatan hijau dalam sektor awam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan